Saya mengambil keputusan untuk menjadi editor kepada manuskrip Rafina Abdullah yang bertajuk Suami Terhangat (tajuk asalnya Suami Hot), semata-mata untuk mengenali beliau dan juga tulisan beliau dengan lebih mendalam. Jujur saya katakan, pada mulanya agak sukar juga bagi saya menghadam gaya olahannya. Namun, atas nama tanggungjawab, saya gagahkan diri membaca sehingga akhirnya saya menjadi taksub dengan jalan ceritanya.
Kebijaksanaan Rafina Abdullah mengupas isu berbangkit dalam manuskripnya itu, dengan memaparkan babak-babak yang menyentuh isi hati watak-watak utamanya dan dengan 'mendakap' pembaca melalui dialog-dialog yang dianggap klise tetapi sebenarnya memberikan kekuatan kepada manuskrip itu, membuatkan saya faham mengapa begitu ramai novel aficionado berebut-rebut mahu mendapatkan novel terbarunya. Malah, sebelum novel ini dicetak, sebuah syarikat pengedar novel dari Brunei telah menghubungi seorang rakan penerbit untuk bertanyakan tentang novel itu, lantaran menyangkakan rakan penerbit itulah yang menerbitkan Suami Terhangat!
Terima kasih buat rakan penerbit itu kerana sudi memaklumkan kepada saya.
Panggilan telefon daripada pengedar buku itu sahaja telah membuktikan betapa kuatnya pengaruh Rafina Abdullah dalam bidang penulisan.
Manuskripnya kali ini membawa kisah yang lain daripada yang lain. Kisah seorang lelaki, seorang suami dan seorang ayah yang tampan, bergaya dan kaya tetapi telah berlaku curang terhadap isterinya. Rafina sendiri terkejut apabila saya menerima manuskrip ini, sedangkan penerbit lain menolaknya. Inilah yang saya namakan rezeki EMP. Malah, novel ini yang bakal menyerlahkan wajahnya pada hujung bulan ini, insya-Allah, telah diintai oleh seorang penerbit drama/filem.
Nak kata apa lagi? Syukur alhamdulillah dan kalau itu tidak membuktikan kekuatan penangan Rafina Abdullah, saya tak tahulah apa lagi yang boleh mengatasinya.
Saya paparkan di sini serba sedikit isi dalam Suami Terhangat. Bacalah untuk melihat sendiri kekuatan yang saya maksudkan:
IDZMIR
mengetuk pintu bilik tidur itu bertalu-talu. Tetapi Nurshila yang berada di
dalam bilik itu, masih enggan membukanya. Pulang dari tempat kerja petang tadi,
Nurshila terus berkurung di dalam bilik itu.
“Sayang, please open the door.”
Lagi sekali Idzmir cuba mengetuk pintu sambil memulas tombolnya.
“Abang
minta maaf sebab berkasar dengan Shila tadi. Abang tak sengaja nak cederakan
Shila. Open the door, please...”
Nurshila
mengesat air matanya. Perasaan sedihnya tidak mampu ditahan-tahan.
Perlahan-lahan dia melangkahkan kakinya menuju ke arah pintu.
Sebaik
sahaja pintuk bilik dikuak, Idzmir segera masuk dan mendapatkan Nurshila yang
sedang berdiri di belakang pintu.
“Selama
enam tahun kita kahwin, abang tak pernah buat macam ni pada Shila. Tak pernah
berkasar dengan Shila sehingga mendatangkan kecederaan. Apa yang ada dalam
fikiran abang? Shila tahu abang ada masalah tapi bukan pada Shila yang patut
abang lepaskan kemarahan abang tu,” ujar Nurshila dengan suara yang bergetar. Air
mata yang jatuh, disekanya dengan hujung jari.
“Abang
tak sengaja. Meh sini abang
tengok lengan Shila.”
Idzmir
mendekati Nurshila lalu memegang lembut lengan isterinya yang sudah lebam itu.
Nurshila hanya membiarkan sahaja. Kesakitan yang dirasainya di situ, tidak
sehebat kelukaan yang sedang bermukim di
hatinya. Sikap cemburu buta yang ditunjukkan Idzmir benar-benar
mengecewakannya.
“I’m
your wife. Tolong jangan perlakukan Shila sewenang-wenangnya di depan orang
seperti apa yang abang buat di pejabat tadi.”
Wajah
Nurshila keruh. Masih terlayar di ruang matanya ketika Idzmir meraih kasar
lengannya di hadapan Saiful,
Khalid dan beberapa orang staf. Dia
berasa malu diperlakukan begitu seolah-olah dia tiada maruah dan harga diri.
Idzmir
menarik Nurshila ke dalam pelukannya. Rambut Nurshila diusapnya berulang kali.
“Tolong
maafkan abang. Abang tak sengaja buat Shila macam tu. Tak tahulah kenapa abang
cemburu dengan Khalid. Tapi Shila kena ingat satu perkara. Kalau abang tak
cemburu, bermakna abang tak sayang.”
Idzmir
semakin kejap memeluk tubuh isterinya. Kemudian, tangan kiri Nurshila
ditariknya perlahan menuju ke katil. Nurshila hanya menurut. Idzmir menyeka air
mata isterinya yang masih bersisa dengan hujung jari.
“Jangan
menangis lagi. Abang tak sanggup melihat air mata Shila berkali-kali tumpah
kerana kesilapan yang abang dah buat. Shila maafkan abang tak?”
Nurshila
hanya diam.
“Shila
duduk sini. Abang ambilkan minyak ubat,” arah Idzmir sambil berlalu keluar
untuk mengambil minyak yang terletak di dalam almari di luar bilik tidur mereka.
Selepas
beberapa minit kemudian, Idzmir kembali dengan membawa sebotol minyak ubat di
tangan. Dia duduk di sisi isterinya itu sambil membuka penutup botol tersebut.
Lengan
Nurshila dipegangnya perlahan. Sebelum menyapu minyak ubat itu, Idzmir mengucup
lembut pada bahagian yang lebam itu. Hati lelakinya tersentuh apabila melihat
kecederaan akibat daripada perbuatan tangannya sendiri. Memang benar, selama
ini dia tidak pernah berkasar dengan Nurshila. Untuk menjentik isterinya itu
pun dia tidak sampai hati, apatah lagi untuk naik tangan ke muka.
Idzmir
meletakkan minyak ubat di tapak tangannya. Kemudian, dia menyapu minyak itu
pada lengan Nurshila yang sudah lebam. Berkerut-kerut wajah Nurshila menahan
kesakitan.
“Sakit?”
soal Idzmir lembut.
Nurshila
hanya mengangguk.
Apabila
melihat wajah Nurshila yang berkerut, segera Idzmir meniup perlahan kawasan
yang lebam itu.
Nurshila
hanya memerhati. Hatinya mula digamit rasa terharu dengan perhatian dan layanan
yang ditunjukkan Idzmir. Memang dari dulu lagi Idzmir sentiasa begitu.
“Can
you forgive me, sayang?” soal
Idzmir perlahan sambil tangannya menyentuh dagu Nurshila.
“Shila
tak tahu.” Ringkas Nurshila menjawab. Dia ingin menundukkan muka tetapi
dihalang oleh tangan Idzmir yang sedang memegang dagunya.
“Please
don’t be like this and please forgive me. Abang tak sengaja.” Idzmir
berhenti menyapu minyak ubat pada lengan Nurshila dan segera menarik tangan
isterinya itu ke dadanya. “Boleh sayang rasa sesuatu apabila tangan sayang menyentuh
dada abang?”
“Tak
rasa apa-apa pun.”
“Close
your eyes. Cuba rasa betul-betul. Degupan jantung abang dah tak sekata
sekarang. Itu menandakan hati abang tak tenang kerana sayang belum maafkan
abang.”
“Yes,
I can feel it,” kata Nurshila, sekadar mahu mengambil hati.
“Then?
Boleh maafkan abang ke tak?” Idzmir mengusap lembut pipi Nurshila.
“Ya,
Shila maafkan.”
Idzmir
tersenyum lebar lantas menarik Nurshila ke dalam pelukannya. “Abang janji,
abang takkan berkasar dengan Shila selepas ni. Kalau abang langgar janji, Shila
boleh ambil pisau dan tikam dada abang bertubi-tubi.”
“Melampau!” Nurshila
tersenyum.

ISBN: 978-967-122-95-14
Penulis: Rafina Abdullah
Penerbit: Elee Mardiana Publication
Harga: RM25.00 - Semenanjung Malaysia / RM28.00 - Sabah dan Sarawak
Sinopsis Suami Terhangat melalui coretan Rafina Abdullah sendiri:
Menjadi seorang suami dengan memiliki pakej lengkap dari segi rupa paras, kedudukan dan kewangan yang kukuh, jalannya tidaklah mudah bagi Idzmir Damien. Dia yang sudah berkahwin dengan Nurshila dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Puteri Felisha, sering menjadi perhatian wanita-wanita lain yang berkeinginan mahu berdampingan dengannya.
Di tempat kerja, Idzmir menjalinkan hubungan sulit dengan Aiza yang memegang jawatan sebagai setiausahanya. Namun, pada waktu yang sama dia begitu menyayangi Nurshila dan anak perempuannya yang dipanggil ‘Uyi’. Setiap kali dia berhadapan dengan Nurshila, setiap kali itulah perasaan bersalah mula beraja di hati.
Tetapi, Idzmir tidak seperti lelaki lain yang lebih menjurus tidak mempedulikan keluarga apabila mempunyai hubungan dengan wanita lain. Sebaliknya, dia lebih cenderung mengutamakan Nurshila dan Puteri Felisha dalam segala hal sehingga kadang-kadang dia mengabaikan Aiza. Cintanya kepada Aiza bukannya tidak ikhlas malah dia berniat mahu menjadikan gadis itu sebagai isteri keduanya.
Namun, siapa sangka. Keadaan menjadi sebaliknya apabila Allah yang lebih berkuasa sudah merencanakan sesuatu. Dijauhkan Idzmir daripada Aiza apabila Nurshila mula menghidu kecurangan suaminya. Di sebabkan perkara itu, Idzmir mengambil keputusan untuk melupakan Aiza dengan menidakkan perasaan cintanya terhadap gadis itu kerana lebih mengutamakan Nurshila dan Uyi.
Pelbagai isu yang cuba diketengahkan penulis di dalam naskhah ini. Berbagai konflik, emosi suka dan duka terkandung di dalamnya. Babak komedi dan romantis tidak dilupakan oleh penulis dan tidak terkecuali adegan thriller juga dimuatkan di dalam karya ini. Boleh dikatakan, kisah ini mengandungi seribu perencah yang boleh membuatkan anda tersenyum, ketawa dan bersedih. Di awal-awal cerita, pembaca akan membenci Idzmir tetapi pada akhirnya... pembaca akan temui sesuatu dalam watak Idzmir itu sendiri.
Kata penutup entri ini: jangan lupa mendapatkan novel ini. Anda pasti akan terhibur dengan jalan ceritanya.
Yang tulis ikhlas,
Elee Mardiana